APABILA memperkatakan mengenai isu beban kerja berlebihan yang dihadapi guru sekolah boleh diibaratkan seperti air pasang. Ada naik dan ada surutnya. Isu ini akan timbul sekejap dan bermacam perdebatan akan dapat kita baca dan ikuti, baik di dada akhbar atau sumber media massa yang lain. Kemudian secara perlahan-lahan ia akan senyap dan lenyap kembali.
Guru pun mungkin sudah tidak berminat lagi untuk menyuarakan perasaan mereka berkaitan hal ini malah, terpaksa menerima hakikat bahawa tiada apa yang akan berubah dalam isu ini.
Justeru, apakah hasil daripada jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran untuk mengkaji beban kerja guru yang dikatakan kian bertambah ini? Sudah hampir setahun jawatankuasa ini ditubuhkan, tetapi apakah hasil serta tindakan susulan daripada kajian itu.
Itu belum lagi ditambah dengan tugas lain seperti guru disiplin, guru kelab dan persatuan serta bermacam lagi tugas ‘perkeranian’ yang terpaksa dihadapi. Jadi apa bezanya keadaan sebelum dan selepas jawatan kuasa itu ditubuhkan?
Walaupun ada pembantu guru yang dihantar untuk membantu dan meringankan beban kerja guru, tetapi apa yang terjadi adalah sebaliknya. Pembantu guru ini diambil kesempatan pula oleh pihak pentadbir sekolah untuk meringankan kerja mereka sendiri. Akhirnya bukan guru yang mendapat manfaat daripada kehadiran pembantu guru ini, tetapi yang untungnya adalah pihak pentadbir sekolah.
Saya berharap agar kerajaan dan Kementerian Pelajaran bersikap lebih telus dan serius untuk menyelesaikan masalah beban kerja guru ini. Bukannya sekadar duduk di pejabat, menerima laporan daripada pegawai mereka dan kemudiannya membuat dasar yang tidak bersandarkan realiti sebenar masalah perguruan di negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan