Maklumat Semasa

13 Januari 2010

Penguasaan guru dalam ICT diutamakan - TPM

LONDON 12 Jan. - Malaysia yakin penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah mudah dilaksanakan dengan penumpuan kepada penguasaan di kalangan guru-guru.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendedahan melalui kursus berterusan kepada pentadbir sekolah, pengetua dan guru-guru dalam mewujudkan golongan celik komputer telah menunjukkan kesan ketara kepada perkembangan ICT di Malaysia.

Menurutnya, kajian British Commonwealth Group (BCG) 2008 dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU) berkaitan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia menunjukkan wujudnya peningkatan kesedaran dan kreativiti di kalangan guru dan murid dalam penguasaan ICT.

"Malaysia mempunyai banyak inisiatif termasuk video pendidikan melalui web, EduWeb TV, dengan 9,331 sekolah mempunyai akses kepada lapan saluran projek School-Net melalui jalur lebar bagi mengurangkan jurang digital antara penduduk luar bandar dan bandar.

"Makmal komputer juga dibina di 6,633 sekolah. Pusat akses Internet sekolah dengan konsep kafe siber diwujudkan bagi kemudahan murid mencari maklumat di 3,029 sekolah di luar bandar," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menyampaikan ucaptama di Forum Pembelajaran dan Teknologi Baru 2010 di Pusat Persidangan Queen Elizabeth II di sini hari ini.

Seramai 73 Menteri Pelajaran dan juga pemimpin serta pegawai-pegawai pendidikan dunia menghadiri forum tersebut yang membincangkan mengenai pembelajaran dalam bidang ICT.

Ia forum pendidikan terbesar di dunia yang memfokuskan pembangunan dan integrasi ICT dalam pembelajaran di sekolah-sekolah.

Forum ini memberi peluang kepada Menteri Pelajaran, pegawai kanan kerajaan dan pihak berkaitan bertukar-tukar pendapat serta pengalaman mengenai pengunaan ICT di negara masing-masing.

Tambah Muhyiddin, gabungan penggunaan ICT dalam sistem pendidikan Malaysia telah memperlihatkan banyak kerjasama antara sektor swasta dan awam dalam membentuk perkongsian pintar.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kini menjadi cabaran kepada guru berperanan sebagai fasilitator bagi memastikan penggunaan ICT yang membawa kepada pelbagai bentuk kemajuan itu dapat dicapai.

"Pada masa sama, kita juga sentiasa mengingatkan para guru bahawa teknologi itu hanyalah alat.

"Interaksi di dalam kelas dengan murid-murid juga perlu diutamakan di samping penggunaan ICT dalam pembelajaran. Tiada teknologi yang boleh menggantikan guru," jelasnya.

Katanya, cabaran lain adalah kos yang tinggi dalam melaksanakan ICT terutama ketika negara menghadapi krisis ekonomi,

Bagaimanapun, tambahnya, kerajaan mendapat kerjasama baik daripada komuniti sekitar dan sektor swasta dalam menjayakan program ICT di sekolah.

Muhyiddin turut menyentuh mengenai keperluan menjadikan pendidikan sebagai pertahanan paling utama negara bagi keselamatan ekonomi dan memberi jaminan kesihatan termasuk membantu dunia memerangi kebuluran.

"Selain menjadikan forum ini sebagai medan perkongsian kemahiran mengenai teknologi, jadikan ia untuk menjalinkan kerjasama erat bagi keamanan dunia melalui komunikasi dan informasi teknologi yang lebih baik dalam ikatan persaudaraan pendidikan," katanya. - utusan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...