Maklumat Semasa

03 Disember 2009

Seminar PIBG mahu guru kena saman dibela kerajaan

KEBAJIKAN guru perlu dijaga terutama ketika mereka menjalankan tugas termasuk dengan mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan apabila menghadapi tindakan saman kerana kejadian kemalangan menimpa pelajar. Cadangan itu adalah antara 10 resolusi diputuskan Seminar PIBG dan Guru-Guru Dalam Menangani Gejala Disiplin Murid Peringkat Kebangsaan di Hotel Gold Course, Klang, baru-baru ini.

Timbalan Presiden Majlis Permuafakatan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Hasan Ahmad, berkata dalam seminar tiga hari berakhir semalam, pihaknya memohon supaya ibu bapa mengelak tindakan menyaman guru atas kemalangan yang bukan berpunca daripada kecuaian mereka kerana ia hanya akan mengeruhkan hubungan kedua-dua pihak terbabit.

Beliau berkata jika tindakan ibu bapa sewenang-wenangnya menyaman guru berleluasa, dikhuatiri ramai golongan pendidik ‘takut’ dan hilang minat menjalankan aktiviti kokurikulum sedangkan kegiatan itu memberi manfaat besar terutama dalam pembangunan kemahiran insaniah pelajar.

“Sesetengah kejadian kemalangan pelajar seperti tiga murid yang meninggal dunia dalam tragedi jambatan gantung runtuh di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan baru-baru ini bukan disebabkan kecuaian guru.

“PIBG boleh menjadi orang tengah berbincang dengan keluarga pelajar agar mengelak tindakan saman, lebih utama kerajaan mengambil langkah pembelaan sewajarnya supaya tindakan saman ini tidak disalahguna hingga mengakibatkan trauma dan kesan psikologi negatif kepada pendidik, sekaligus menjejaskan usaha pembangunan potensi pelajar,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup seminar berkenaan.Hasan berkata penguatkuasaan undang-undang dan pemantauan berterusan juga perlu dilaksana bagi membendung gejala bekalan barang larangan seperti rokok, arak dan dadah di kalangan pelajar sekolah.

Katanya, antara lain pihak berkuasa tempatan perlu memberi amaran dan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha kedai runcit berhampiran sekolah yang menjual rokok kepada pelajar tempatan. Tindakan menghisap ganja yang dilaporkan berlaku di sekolah bandar juga, katanya, perlu dibendung dengan dengan pemantauan lebih berkesan dan tindakan disiplin bersesuaian.

“Buat masa ini kes pelajar menghisap ganja dan dadah di sekolah adalah terpencil namun dikhuatiri berleluasa jika tidak dilakukan langkah pencegahan, justeru pemeriksaan lebih rapi perlu dilakukan,” katanya.

Beliau berkata resolusi lain termasuk menyegerakan penempatan guru kaunseling sepenuh masa di sekolah untuk khidmat kaunseling lebih berkesan, menyalurkan maklumat salah laku kepada PIBG bagi pengukuhan kerjasama dengan sekolah, mengambil kira elemen pembangunan sahsiah pelajar dalam pengukuran pencapaian.

Turut dicadangkan, katanya, pelantikan setiausaha PIBG di kalangan guru berpengalaman kerana amalan melantik guru baru memegang jawatan itu menjejas produktiviti sumbangan badan itu, memperluas pengajaran penulisan jawi dan khat di sekolah bagi memberi kesan emosi positif kepada pelajar, memperluas sistem e-Disiplin ke sekolah rendah, menyediakan modul latihan pengawas sekolah serta tumpuan kepada program pencegahan salah laku disiplin berbanding aktiviti pemulihan.

Mengulas hasil resolusi seminar itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata ia akan dihalusi pihaknya dan dilaksana segera jika bersesuaian dengan dasar dan akta sedia ada. Sambil menjelaskan resolusi itu akan dijadikan panduan bagi merangka langkah pencegahan masalah disiplin pelajar, beliau berkata kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat turut diperlukan dalam menangani masalah itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...